PENGURUSAN PEMBELAJARAN

PERBINCANGAN

1. Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada dalam seorang pemimpin yang berkesan dalam sesebuah organisasi?

    Ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang pemimpin yang berkesan dalam sesebuah organisasi mengikut kepimpinan Rasulullah ialah mempunyai matlamat yang jelas, nilai baik dan daya kekuatan. Pemimpin yang mempunyai matlamat jelas memiliki kemampuan berfikir dalam berbagai-bagai pendekatan bagi mencari alternatif serta
memperhalusi suatu perkara yang abstrak kepada perkara yang nyata. Pemimpin yang bagus juga semestinya dapat membimbing orang lain dengan kasih sayang dan memiliki nilai integriti dalam diri. Selain itu, pemimpin juga perlu mempunyai daya kekuatan dari segi fizikal dan mental yang tinggi supaya mampu untuk menggerakkan dirinya dan orang lain untuk mencapai perubahan yang baik dalam mengendalikan sesuatu perkara.

2. Apakah gaya kepimpinan guru besar yang paling dominan berdasarkan persepsi guru-guru?

   Gaya kepimpinan guru besar yang paling dominan berdasarkan persepsi guru-guru di sekolah X dan sekolah Y ialah gaya kepimpinan mengarah, gaya kepimpinan penyertaan, gaya kepimpinan bertimbang rasa, dan gaya kepimpinan berorientasikan kejayaan. Keempat=empat gaya kepimpinan ini digunakan dalam urusan pentadbiran harian pada tahap yang amat tinggi. Namun gaya kepimpinan yang paling dominan yang diamalkan oleh guru besar sekolah X dan sekolah Y ialah gaya kepimpinan secara penyertaan kerana kebanyakan guru di sekolah mereka terdiri daripada golongan yang matang, berkemahiran tinggi serta berpengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran. Misalnya mereka sering berkongsi masalah pekerjaan bersama guru-guru lain di mana hasrat, kebimbangan dan idea dipertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan. Kenyataan ini amat bertepatan dengan model penglibatan pemimpin yang dijelaskan oleh Vroom dan Yetton (1973) mengenai pemimpin berkongsi masalah dengan pengikut secara berkelompok dan keputusan dibuat bersama dengan pengikut yang mahir dan matang.

3. Huraikan perbezaan pendapat bagi persepsi guru-guru terhadap gaya kepimpinan guru besar berdasarkan faktor jantina.

   Terdapat perbezaan pendapat bagi persepsi guru-guru terhadap gaya kepimpinan guru besar berdasarkan faktor jantina yang merupakan salah satu ciri daripada faktor-faktor demografi. Contohnya perbezaan antara gaya kepimpinan pengetua lelaki dan pengetua wanita. Berfokuskan kepada pengetua wanita, golongan ini selalunya menghadapi dualisme dalam bebanan tugas iaitu bertugas sebagai pengetua di sekolah dan menghadapi tugas serta tanggungjawab mengurus rumah tangga. Oleh itu, keupayaan mereka dalam tugas menjalankan kepimpinan di sekolah disangkal oleh guru-guru bawahan terutamnya dalam kalangan guru lelaki. Keraguan ini akan memberi kesan kepada kepercayaan dan kerjasama yang diberikan oleh guru-guru lain. Namun begitu, dalam konteks kepengetuan di Malaysia, setiap pengetua tidak kira lelaki ataupun wanita semestinya mempunyai kebolehan untuk menginterpretasi perubahan serta menggunakan gaya kepimpinan yang sesuai dalam memotivasikan guru sera kakitangan ke arah perubahan tersebut. Tuntasnya gaya kepimpinan pengetua amat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah sekolah.

Comments